07 June 2012

Kesan Yang Tersendiri

 Satu ayat yang biasa-biasa sahaja mampu membawa 1001 mesej yang berlainan pada setiap yang membacanya dan mungkin jua memberi 1001 macam kesan kepada individu itu. maka berhati-hatilah dalam gaya kita berbahasa mahupun bertutur.


Bismillahirrahmanirrahim ..

   Satu perkara yang Allah lintaskan di hati ini supaya berfikir dan jangan melakukan sesuatu, berkata-kata atau menulis apa-apa secara melulu, mengikut nafsu. 

   Kadang-kadang kita terlupa, lalai dan tidak seberapa mana menjaga status Facebook, Yahoo Messenger mahupun segala jenis macam bentuk penulisan kita. Tanpa kita sedar, mungkin juga bukan hanya kita dan keluarga mahupun sahabat yang terdekat yang melihat dan membaca ayat-ayat itu, bahkan kemungkinan besar seluruh dunia yang memahami bahasa yang sama turut membacanya, menafsir dalam pelbagai fahaman dan memberi kesan terhadap dirinya dan sekeliling.

   Allah menciptakan manusia dengan pelbagai. Ada yang berperangai jenis A, B mahupun sehingga habis semua abjad tidak semestinya perangai itu akan sama. Jadi, tidak kesemua orang akan ada fahaman yang sama ke atas setiap apa yang dilihat mahupun yang berlaku pada dirinya. Walhal dalam cara menulis abjad sekalipun, ada yang menulis "A" dengan pelbagai gaya walaupun belajar dari guru yang sama.

   Sebab itu janganlah terlalu cepat melatah terhadap sesuatu situasi yang kadang-kadang menyakitkan hati kita. Kemungkinan apa yang ingin disampaikan berlainan dengan apa yang sedang kita fahami. Cara terbaik jika kita bersemuka dan bertanyakan perihal sebenar. Dan jika tiada kemampuan, tarik nafas seketika, berfikir mengapa Allah tunjukkan itu kepada aku? Sudah semestinya Dia ada sesuatu yang ingin ditunjukkan supaya kita berfikir. 

   Tiada yang sia-sia di dalam dunia ini. Semuanya ada pengajarannya. Hanya kita sahaja yang kurang berhati-hati jika masih terjatuh pada lubang yang sama.

   Sama-sama kita fikirkan, kenapa Allah ciptakan kita menjadi kita sekarang. Dia ada sesuatu untuk kita. Kejar untuk itu! Mahukah kita sentiasa berada pada tahap yang sama, tanpa usaha untuk menjadi yang terbaik bilamana Sang Pencipta sudah menjanjikan bahawa,
 " Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah. [ 110 : Al Imran ] "


No comments: