23 May 2012

Dia pilihanku


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, masih panjang lagi umurku pada hari ini, 2 Rejab 1433. Allah Maha Kuasa, Pencipta seluruh alam dan isinya. Selawat dan salam ke atas Kekasih yang dirindui saban hari, Rasulullah sollahualaihiwassalam. Moga-moga masih ada sinar itu, sinar kebahagiaan dan ketenangan dalam rahmatNya pada hari ini.

Dia pilihanku?

SIAPA DIA??

Dia, calon IMAMKU, bakal teman seperjuangan, bakal seorang ayah kepada anak - anakku.

     Serius bunyi entri kali ini. Tetapi hakikatnya itulah, isu panas ini bukanlah suatu perkara yang boleh diperlakukan seperti mainan lagaknya. Yang watak-wataknya boleh diambil sebegitu sahaja tanpa ada kriteria yang tertentu, tanpa berlakunya tapisan terlebih dahulu. Ya! Jangan terlalu memilih tetapi janganlah terlalu menerima tanpa memeriksa. Jangan menempah bahaya sahabat! Sedangkan makanan yang boleh hilang 2-3 jam selepas dimakan pun kita akan memeriksa dengan seteliti mungkin tarikh luput, khasiatnya apatah lagi ini CALON PENDAMPING SEUMUR HIDUP KITA hingga ke syurga. Peneman perjuangan kita dalam jalan ini. Imam kita! Tidak boleh tidak harus ada kriteria yang khas! :)

     Dulu, diri ini pernah meletak beberapa kriteria spesifik untuk calon imamku. Kriteria seorang gadis yang memilih bukan muslimah! Lebih melihat pada fizikal luaran dan asal-usul bukannya pada dasar akidah dan akhlaknya. Tidak mahukan yang bidang kerjayanya yang sama doktor, dikhuatiri anak-anak tidak akan terjaga dengan sebaik mungkin. Mahukan yang lebih tua dari usia sendiri, lebih matang fikirku! Kalau boleh tidak mahu yang satu negeri, nanti kampung dekat sangat. Tapi itu kisah zaman lampau. Tika diri ini belum mengerti peri pentingnya sebuah baitul muslim itu. Tika diri ini masih belum mendalami tanggungjawab yang perlu digalas selepas selesainya satu akad nikah itu. Tika diri ini kosong dalam ilmu perkahwinan.
[sebab itulah Allah belum munculkan jodohku lagi. Baru ku mengerti sekarang~]

    Mendengar akan sebuah ceramah Ustaz Kazim Elias, beliau menyatakan dua perkara yang penting dalam memilih bakal suami atau isteri iaitu AGAMA dan AKHLAK. Ada agama tetapi tidak beramal dengan apa yang dipelajari maka jadilah akhlak yang tidak seberapa cukup. Mulalah baitul muslim yang dibina bergolak. Si suami memarahi si isteri! Depan khalayak bukan main sopan santunnya, pabila di rumah, hanya jauhari yang mengenal manikam. Lain pula kisahnya apabila akhlak bagus, 100% tetapi agamanya tiada. Rumahtangga yang mula mengorak langkah, membina bahagia akan hilang serinya, hilang bahagia. Tuntutan agama tidak dilunaskan dengan sebaik mungkin. Hukum hakam dibuat main seperti tiada apa-apa. Tiada guna juga akhirnya.

     Kesimpulannya, jangan terlalu memilih, mahukan yang kerjanya berjawatan tinggi, rupa parasnya lagak pelakon popular, boleh melancong ke sana sini..Bagi diri ini, cukuplah dua syarat di atas menjadi syarat utama jika itu dapat membantu diri ini berjuang di jalan Allah dan mendapat rahmat serta redha Allah hingga ke syurgaNya. Allahuakbar! Jika yang datang itu punya kerja yang bagus, rupa yang selesa dipandang, itu ganjaran dari Allah untuk hambaNya yang lemah ini. Dalam kita memohon kepada Allah yang kita inginkan punya syarat-syarat itu, mahu tidak mahu kita juga harus mempersiapkan diri ini dengan dua syarat itu. 

     Sungguh Allah sudah berjanji bahawa lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik dan sebaliknya. Dan diri ini pernah juga membaca suatu pepatah "Lelaki harus mempersiapkan diri menjadi imam yang terbaik, tidak perlu mencari makmun yang solehah kerana dia imam, memimpin makmun itu. Sebaliknya untuk wanita,carilah imam yang terbaik kerana dia yang bakal memimpinmu. Namun, kita juga harus mempersiapkan diri kita menjadi makmun yang terbaik juga untuk imam yang bakal dihadiahkan oleh Allah pada masa yang terbaik nanti! Sama-sama melengkapi antara satu sama lain. 



Hanya Allah mengetahui yang terbaik buat hambanya. Semoga Allah meredhai setiap tindakan sehingga beroleh syurgaNya.